Elliott Wave Malaysia

Ralph Nelson Elliott

Pengasas Elliott Wave Principle

(28 Julai 1871 - 15 Januari 1948)

Perjalanan Hidup R.N.Elliott

Ralph Nelson Elliott dilahirkan di Marysville, Kansas, Amerika Syarikat. Beliau merupakan seorang akauntan, pengarang dan pengasas Teori Elliott Wave. Teori Elliott Wave digunakan untuk mencirikan trend dalam pasaran saham dengan tepat.

R.N Elliott mula menceburi bidang perakuanan pada pertengahan tahun 1890-an dan bekerja sebagai eksekutif di syarikat pembuat jalan kereta api di Amerika Tengah dan Mexico.

Beliau kemudian berkahwin dengan Mary Elizabeth Fitzpatrick (1869-1941) pada tahun 1903.Pada tahun 1920, beliau dan isterinya berpindah ke Amerika Syarikat dan telah diupah oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk melakukan servis perakaunan dan penyusunan semula organisasi kewangan bagi negara Nicaragua yang ketika itu berada di bawah kawalan Amerika Syarikat.

Ketika itu, R.N Elliott telah menulis dua buah buku bertajuk ‘Tea Room and Cafeteria Management’ dan ‘The Future of Latin America’. Tulisan beliau menyentuh isu ekonomi dan sosial di Amerika Tengah berdasarkan pengalaman beliau menetap di sana. Namun begitu, semasa berkhidmat di Amerika Tengah, beliau menghidapi penyakit usus berpunca daripada organisma amoeba histolytica yang berasal dari wilayah itu. Penyakit usus ini memaksa R.N. Elliott untuk bersara awal pada usia 58 tahun.

Selepas bersara pada tahun 1929, R.N. Elliott banyak mendedikasikan masa dengan menganalisis dan memahami sifat pasaran saham Amerika Syarikat. Beliau mengkaji secara mendalam pelbagai data indeks pasaran saham yang berusia 75 tahun termasuklah carta tahunan, bulanan, mingguan, harian, jam dan setengah jam.

Pada tahun 1938, R.N. Elliott bekerjasama dengan Charles J. Collins untuk menghasilkan buku ketiganya bertajuk ‘The Wave Principle’. Elliott menekankan bahawa, walaupun trend pasaran saham mungkin kelihatan rawak dan tidak dapat diramalkan tetapi sebenarnya trend ini mematuhi undang-undang semula jadi yang dapat diramalkan dan dapat diukur menggunakan nombor Fibonacci. Dalam tempoh masa setahun penerbitan buku ‘The Wave Principle’ ini, Elliott telah dijemput untuk menulis 12 artikel bagi Financial World Magazine untuk mencirikan sistem beliau dalam menganalisis trend pasaran saham.

Pada awal tahun 1940, Elliott mengembangkan teorinya untuk diterapkan kepada tingkah laku manusia secara kolektif. Beliau menerbitkan buku terakhirnya, ‘Nature’s Law-The Secret of the Universe’ pada bulan Jun 1946. Selepas beberapa tahun kematian R.N. Elliott pada tahun 1948, pengamal teori Elliott Wave yang lain seperti Charles J. Collins, Hamilton Bolton, Richard Russell dan A.J Frost masih lagi meneruskan penggunaan Prinsip Elliott Wave dan menyediakan analisis ramalan kepada pelabur.

Pada tahun 1978, A.J Frost dan Robert Prechter bekerjasama dalam menerbitkan buku ‘Elliott Wave Principle’. Robert Prechter telah menemui karya R. N. Elliott semasa bekerja di firma pelaburan terkemuka Merrill Lynch. Kepakaran Robert Prechter sebagai seorang penganalisis pasaran mendapat perhatian setelah kejayaan beliau meramal pasaran menaik (bull market) pada tahun 1980-an menggunakan Prinsip Elliott Wave.

Tea Room and Cafeteria Management
The Wave Principle
Nature Law - The Secret of the Universe

Elliott Wave Principle

Pada tahun 1930-an, Ralph Nelson Elliott mendapati bahawa pergerakan harga saham cenderung untuk berubah mengikut corak yang berulang dalam bentuk tertentu. Elliott menamakannya sebagai Elliott Wave Principle.

Nilai eksklusif Elliott Wave Principle ialah memberi konteks sebenar dalam menganalisis pasaran saham.
Elliott Wave Principle ialah pengetahuan asas yang perlu dikuasai oleh setiap pelabur yang hebat.

Keberkesanan analisis menggunakan Elliott Wave Principle telah dibuktikan sejak lebih 90 tahun lalu dalam sejarah pergerakan harga pasaran saham Dow Jones Industrial Average (DJIA).

Ilmu Elliott Wave Principle sesuai digunakan untuk mendapatkan ketepatan dalam menganalisis pergerakan harga pelbagai jenis pasaran saham termasuklah global dan Bursa Malaysia.